Thursday, March 18, 2010

Mutiara Raja Gunung (siri 1)

Tersebut kisah mutiara Raja Gunung milik Akinabalu yang diwarisinya sejak turun temurun. Akinabalu adalah seorang raja Dewa Gunung yang tinggal disuatu lembah di kaki Gunung Kinabalu. Menurut Kuminado mutiara ini atau dalam bahasa dusun butia dii Akinabalu itu besarnya seperti sebiji limau bali dan berwarna hijau tua. Setiap pagi mutiara itu akan mengeluarkan cahaya yang amat terang dan cantik sehinggakan mana-mana kawasan yang mendapat sinarannya akan bertambah subur dan makmur.

Raja Tembuyukan yang memerintah Gunung Tembuyukan telah lama mengetahui tentang kesaktian mutiara Raja Akinabalu dan berhasrat untuk merampas mutiara itu daripada Raja Akinabalu.Pada suatu malam Raja Tembuyukan memanggil Tumbayan ketua panglimanya yang gagah berani untuk menyerang dan memusnahkan istana Akinabalu. Niat jahat Raja Tembuyukan telah lama diketahui oleh Raja Akinabalu lalu mempersiapkan bela tenteranya bagi menentang tentera Raja Tembuyukan. Ketika tentera yang diketuai oleh Tumbayan sedang mendaki bukit tentera Raja Akinabalu menyerang dengan mengulikkan batu-batu besar bagi menghalang kemaraan tentera Raja Tembuyukan. Ramai tentera Raja Tembuyukan mati dalam pertempuran ini sementara Panglima Tumbayaan serta beberapa tenteranya turut cedera dan balik ke Gunung Tembuyukan.

Tersebut pula kisah sebuah kampung yang aman dan makmur terletak di suatu lembah gunung yang sangat rata. Dikatakan penduduknya sangat rajin dan kuat berusaha serta sangat kaya dengan hasil pertanian. Kampung ini dinamakan kampung Silau, kampung ini terletak di satu lembah berhadapan dengan Gunung Kinabalu. Kampung Silau merupakan satu dataran yang rata sungguhpun terletak diatas bukit yang tinggi. Menurut Kuminado kampung ini sering dikunjungi oleh Raja Akinabalu dengan menaiki seekor kuda putih untuk berjumpa dengan rakyat jelata. Melihat kepada kerajinan dan usaha penduduk kampung silau, Raja Akinabalu telah menghadiahkan penduduk kampung 7 biji gong yang diperbuat daripada emas dan perak. Sebelum berangkat pulang Raja Akinabalu berpesan kepada penduduk kampung Silau supaya jangan berpecah belah kerana menurut ramalannya kampung ini kelak akan menjadi satu kawasan yang terkenal pada masa akan datang.

Menurut Legenda, pancaran mutiara Raja Akinabalu membawa kepada kemajuan kepada kemakmuran dan kesuburan terhadap empat buah kampung dalam daerah Ranau iaitu Bundu Tuhan/Kiau, Kundasang, Silou dan sekitarnya.

Nota: Para pembaca sekelian, cerita ini adalah metos semata-mata dan saya perlukan komen anda untuk menilai kebenarannya. tq

1 comment:

MrClyrie said...

ow..metos semata-mata ja pula..~

Post a Comment